Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Perutusan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Awang Haji Mohammad Yusof Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

Sempena Sambutan Hari Pos Sedunia Tahun 2021

Tema: 'Innovate to Recover'

1.    Negara Brunei Darussalam serta negara-negara ahli Kesatuan Pos Sedunia (Universal Postal Union – UPU) memperingati Hari Pos Sedunia pada 9hb Oktober setiap tahun, dimana pada tahun 2021 ini, tema Hari Pos Sedunia adalah Innovate to Recover.  Tema ini menekankan kepentingan innovasi perkhidmatan pos dalam membantu dunia semasa menghadapi situasi pandemik COVID-19. 

2.    Aktiviti e-commerce dan pembelian secara dalam talian melalui platform e-commerce mengalami peningkatan yang ketara, lebih-lebih lagi sejak penularan wabak COVID-19.  Dalam menghadapi gelombang kedua wabak COVID-19 ini, Jabatan Perkhidmatan Pos merekodkan peningkatan penerimaan bungkusan dari luar negara iaitu daripada 26,152 pada bulan Julai 2021 dan 16,030 pada bulan Ogos 2021 kepada 42,407 pada bulan September 2021.

3.    Dengan mengambilkira peningkatan ini, penyedia perkhidmatan pos dan kurier perlu menyesuaikan dan mempersiapkan diri bagi menangani jumlah bungkusan yang perlu dikendalikan. Ini termasuklah menjalankan perkhidmatan 'contactless delivery' bagi memastikan keselamatan pekerja perkhidmatan pos dan pelanggan. Pendekatan yang lebih innovatif dan berteraskan pelanggan adalah penting bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan yang diberikan mengikut proses, garis panduan dan prosedur operasi standard yang dikemaskini berdasarkan keperluan semasa.

4.    Antara pendekatan innovatif yang diambil adalah dengan tampil berperanan sebagai rakan lojistik kepada platform e-commerce bagi sama-sama memastikan proses penghantaran dapat berjalan dengan lancar.  Dalam hal ini, bagi mendokong permintaan penghantaran barangan yang semakin meningkat, Jabatan Perkhidmatan Pos bekerjasama sebagai rakan kongsi logistik bagi pembelian secara dalam talian dengan platform e-commerce seperti eKadaiBrunei. Tujuan utamanya adalah untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan bagi mendapatkan barangan keperluan harian melalui platform e-commerce, khususnya semasa mematuhi langkah-langkah pengawalan yang diperketatkan berikutan situasi pandemik COVID-19 ketika ini.

5.    Perkara ini telah menjurus kepada peningkatan dalam penghantaran perkhidmatan Pos Laju sebanyak 20%, iaitu, sebanyak 478 penghantaran barangan pada bulan Ogos 2021, berbanding pada tahun sebelumnya. Selain itu, penghantaran Pos Laju juga turut memberi sokongan kepada pemberian perkhidmatan secara dalam talian oleh pihak kerajaan (e-services), seperti dalam membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan.  Ini adalah antara langkah yang diambil bagi memastikan perkhidmatan pos turut mendokong perkembangan transformasi digital di Negara ini.   Setentunya, inisiatif seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi nilai tambah perkhidmatan (Value Added Services) dan produk yang sedia ada.

6.    Keupayaan dan semangat untuk terus meneroka kaedah baharu perlu untuk terus ada dalam perkhidmatan pos.  Sebagai sektor yang tercabar dengan kemajuan digital, perkhidmatan pos juga perlu bijak merangka dan melaksanakan strategi bagi meraih peluang dari kemajuan digital.  Ini termasuklah lebih peka kepada permasalahan dan keperluan pengguna yang berharap kepada perkhidmatan pos untuk kelangsungan urusan mereka. 

Oleh itu, tema Innovate to Recover adalah bertepatan untuk terus disematkan dalam perkhidmatan pos. Maklumbalas dan cadangan dari orang ramai juga perlu diberi perhatian sebagai langkah pembaikan secara berterusan.  Dari itu, tema Innovate to Recover bukan sahaja bermaksud untuk pulih dari kesan pandemik COVID-19, tetapi juga untuk bangkit berganding bahu dengan kesemua pihak-pihak berkepentingan dengan pembaharuan dan innovasi dalam mendepani setiap cabaran yang dihadapi.



Attachments
Created at 10/10/2021 10:29 AM by Ak Hj Hairul Azmi Bin Pg Hj Morni
Last modified at 10/10/2021 10:34 AM by Ak Hj Hairul Azmi Bin Pg Hj Morni