Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

Teks Ucapan Yang Mulia Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan Sempena Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-153 Pada 12 Jun 2015 Bertempat Di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Penanjong Garison

TEKS UCAPAN
PEGAWAI MENERIMA TABIK HORMAT

YANG MULIA

AWANG ABDUL MUTALIB BIN PEHIN ORANG KAYA SERI SETIA DATO PADUKA HAJI MOHD YUSOF

SETIAUSAHA TETAP,
KEMENTERIAN PERHUBUNGAN

SEMPENA
UPACARA PERBARISAN TAMAT LATIHAN

REKRUT LELAKI

PENGAMBILAN KE-153

PADA
HARI JUMAAT

25 SYAABAN 1436 BERSAMAAN DENGAN 12 JUN 2015

BERTEMPAT DI
PADANG KAWAD
INSTITUT LATIHAN

ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PENANJONG GARISON


Bismillahirahmanirahim.

Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama'een.

 

Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah,

Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

 

Yang Mulia

Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei

 

Yang Mulia,

Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera;

Pemerintah Angkatan Bersama;

Komandan Institut Latihan;

Komandan-Komandan;

Pengarah-Pengarah Tentera;

Pegawai-Pegawai, Perajurit, Pranita; dan

para rekrut yang diraikan serta ahli-ahli keluarga rekrut, yang peramba/kaola/saya hormati.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

1.    Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izinNya jua, kita dapat berkumpul bagi Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Pengambilan Ke-153.
 
2.    Selawat serta salam ke atas rasul junjungan dan pemimpin agung kita Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.
 
3. Terlebih dahulu peramba/kaola/saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Dimuliakan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, dan seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kerana menjemput peramba/kaola/saya hadir selaku pegawai menerima tabik hormat bagi upacara perbarisan pada pagi ini. Peramba/kaola/saya sangat menghargai penghormatan dan peluang ini.
 
4.  Kepada para rekrut yang diraikan, setinggi-tinggi tahniah diucapkan.  Kegigihan dan ketekunan Awang-Awang sekalian dalam menjalani latihan asas ketenteraan sejak 6 bulan yang lalu, adalah wajar dibanggakan.  Setentunya, kejayaan Awang-Awang dalam menamatkan latihan juga turut menjadi kebanggaan ibu bapa dan keluarga masing-masing.
 
5.   Peramba/kaola/saya percaya latihan yang dijalani dapat membentuk Awang-Awang sebagai individu yang berdisiplin, bertanggungjawab, amanah dan mempunyai semangat kenegaraan yang tinggi.  Kualiti sebeginilah yang sepatutnya dicontohi oleh belia di Negara ini.  
 
6.   Apatah lagi, Awang-Awang juga dilengkapi dengan nilai sahsiah yang digariskan oleh Kementerian Pertahanan, dan nilai teras Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Ianya menjadikan Awang-Awang sekalian sebagai aset yang berguna dalam memantapkan benteng barisan hadapan Negara.
 
7.    Dari itu, peramba/kaola/saya yakin Awang-Awang setentunya berani tampil untuk mempertahankan kedaulatan raja, ugama, bangsa dan Negara.  Ini adalah juga pada menjunjung tinggi Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-54 baru-baru ini.
 
8. Antaralainnya, Baginda menitahkan bahawa kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang ancaman adalah memerlukan angkatan tentera yang cekap lagi berkeupayaan.  Ini termasuk bagi menghadapi dan menangani kejadian-kejadian di luar dugaan yang berlaku didalam mahupun diluar Negara.
 
9.  Seterusnya Baginda juga bertitah bahawa kemantapan dan kesinambungan angkatan tentera adalah didokong oleh anggota-anggotanya yang mencukupi dan berkualiti.  Dari itu, seluruh warga tentera hendaklah memperkukuhkan semangat cintakan institusi sambil menjaga imej dan nama baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
 
Hadirin, hadirat yang peramba/kaola/saya hormati sekalian,
 
10.    Dalam menjaga imej dan nama baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, peramba/kaola/saya ingin menarik perhatian Awang-Awang mengenai visi Kementerian Perhubungan, iaitu kearah Masyarakat Pintar menjelang tahun 2017.  Apakah dia Masyarakat Pintar? Ianya adalah sebuah masyarakat yang dapat memanfaatkan maklumat, membuat tindakan yang bijak, mengutamakan keselamatan, mengamalkan sikap yang berhemah dan mematuhi peraturan.  Jadi, apakah relevannya visi ini kepada Awang-Awang sekalian?
 
11.    Ianya adalah sangat relevan.  Dalam hal ini, peramba/kaola/saya ingin mengambil kesempatan untuk menyentuh sedikit mengenai media sosial dan penggunaannya.   Peramba/kaola/saya percaya hampir semua kita pernah mendengar, malah adalah pengguna media sosial antaralainnya seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan Tweeter.  Dari itu, saya ingin menasihati Awang-Awang sekalian supaya dapat menggunakan media sosial seumpama contoh-contoh yang disebutkan tadi secara berhemah. Malah, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk tidak menyalahgunakan media sosial yang dimaksudkan.
 
12.    Penyalahgunaan media sosial, iaitu dengan menyebarkan bahan 'content' seperti video, gambar dan berita yang tidak berasas, boleh menjatuhkan maruah individu dan menjejaskan imej baik bangsa dan Negara.  Dari itu, sama-samalah kita memupuk sikap bertanggungjawab dengan menggunakan media sosial untuk manfaat bersama, dan bukan untuk tujuan sebaliknya.  Jadilah pengguna media sosial yang berhemah!
 
13.  Berkaitan juga dengan sikap dan amalan berhemah ini, peramba/kaola/saya juga ingin menasihatkan Awang-Awang supaya akan sentiasa mengutamakan keselamatan dijalanraya.  Sikap kewaspadaan dan bertolak ansur semasa memandu adalah sangat ditekankan oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).  
 
14.  Kearah ini, Kementerian Perhubungan, melalui Jabatan Pengangkutan Darat dan dengan kerjasama dari beberapa pihak telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kewaspadaan para pemandu semasa berada dijalanraya.  Antaranya adalah memperkenalkan sistem mata demerit iaitu, Sistem Keselamatan Amalan Pemandu (SIKAP), aktiviti keugamaan dan program kesedaran keselamatan jalan raya kepada masyarakat. Inisiatif-inisiatif ini telah menunjukkan hasil yang positif.
 
15.    Alhamdulillah, jumlah kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan kematian telah dapat dilihat penurunannya pada tahun 2014.  Akan tetapi, dalam masa yang sama, kesalahan yang paling ketara dilihat dalam penguatkuasaan yang dijalankan adalah memandu melebihi had laju.
 
16.    Dari itu, peramba/kaola/saya ingin mengingatkan para hadirin sekalian, juga kepada para rekrut, untuk terus menerapkan disiplin dalam memandu.  Ini termasuklah juga mematuhi peraturan lalulintas.  Apa yang turut sama penting adalah untuk mengamalkan sikap saling ingat-mengingati bagi meningkatkan kewaspadaan bersama.  
 
17.    Seterusnya, apa yang diharapkan adalah agar Awang-Awang sekalian supaya akan menjadi contoh yang baik serta teladan kepada orang ramai.  Awang-Awang sekalian perlu ingat bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ini sebagai sebuah institusi yang berdisiplin dan profesional.  Dari itu, sentiasalah peka akan tanggungjawab yang telah diamanahkan, sematkan sikap berhemah dalam setiap apa yang dilakukan, baik semasa bertugas ataupun tidak, demi menjaga imej dan nama baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Hadirin, hadirat yang peramba/kaola/saya hormati sekalian.

18.   Dengan tamatnya latihan yang dijalani, saya juga berharap Awang-Awang sekalian akan terus melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini.  Maklumat kini semakin senang diperolehi.  Manfaatkanlah kemajuan teknologi untuk terus maju kehadapan sebagai warga tentera yang cekap dan berintegriti. Jadilah ikutan yang baik sebagai generasi yang berani mempertahankan maruah serta kedaulatan raja, ugama, bangsa dan negara.

19.   Sebelum mengakhiri ucapan ini, peramba/kaola/saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua rekrut lelaki pengambilan ke-153 yang menamatkan latihan pada pagi ini.  Kepada penerima rekrut terbaik, syabas diucapkan.  Semoga kejayaan ini akan mendorong Awang-Awang sekalian kearah pencapaian yang lebih tinggi dimasa akan datang.

20.   Peramba/kaola/saya seterusnya merakamkan ucapan syabas kepada Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei khususnya kepada para jurulatih.  Hasil pengorbanan dan kesungguhan mereka dalam mencurahkan ilmu dan kemahiran, kita dapat melihat 146 orang askar terlatih pada pagi ini.  Peramba/kaola/saya mendoakan semoga Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus diberi kekuatan dan kebijaksanaan dalam melaksanakan fungsinya untuk melahirkan anggota tentera yang cekap dan profesional.

21.   Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga apa jua yang kita usahakan akan mendapat pahala dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wata'ala jua.  Amiin Ya Rabbal 'Alamin.

Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah Assalamu'alaikum Warahmatullahiwabarakatuh.​
Attachments
Created at 05/12/2015 11:17 AM by Siti Hawa binti Aboo Samah
Last modified at 05/12/2015 11:17 AM by Siti Hawa binti Aboo Samah