Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

Teks Ucapan Yang Mulia Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan Untuk Majlis Taklimat Asas Dan Keselamatan Bermotorsikal, Hari Ahad, 16 Rabiulawal 1435/16 Januari 2014

TEKS UCAPAN

 

YANG MULIA ABDUL MUTALIB

BIN PEHIN ORANG KAYA SERI SETIA

DATO PADUKA HAJI MOHD YUSOF

SETIAUSAHA TETAP, KEMENTERIAN PERHUBUNGAN

  NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

 

UNTUK

MAJLIS TAKLIMAT ASAS DAN KESELAMATAN BERMOTORSIKAL

 

 

HARI AHAD,  16 RABIULAWAL 1435 / 16 JANUARI 2014

JAM : 3 PTG

 

 

BERTEMPAT

DEWAN AMAR PAHLAWAN

KEMENTERIAN PERHUBUNGAN

 

 

 


 

Yang Mulia Puan Pengerusi Majlis,

Dyg Hjh Khamsiah Binti Adenan, Pengurus Syarikat  Memandu REDZA;

 

Yang Mulia Pg Hj Redzuan Bin Pg Hj Ahmad,

Yang Dipertua Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA), selaku Pengerusi Bersama,

 

Yang Mulia President-President/ Pengarah persatuan-persatuan motorsikal,

 

Yang Mulia Ahli-ahli Kehormat PEMODA, Ahli-ahli jawatankuasa penganjur serta hadirin dan hadirat yang peramba/saya hormati sekalian.

 

Assalamualaikum Warahmatullah Hi Wabarakatuh dan selamat petang,

1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah mengizinkan kita berkumpul pada petang ini bagi Majlis Taklimat Asas dan Keselamatan Bermotorsikal.  Saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak Sekolah Memandu Redza dan Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA) atas kerjasama biskita untuk mengadakan majlis ini. 

 

2. Penggunaan motorsikal semakin mendapat tempat di Negara ini.  Ianya semakin diminati sebagai aktiviti riadah dan ekspedisi secara berkumpulan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti permotoran yang dianjurkan.  Selain manfaat dari segi pelancongan dalam negara, aktiviti ini dapat memupuk semangat setiakawan dan kerjasama dikalangan para pengguna motorsikal.  Dari itu, tidak hairanlah sudah terdapat 8 buah persatuan pengguna motorsikal yang berdaftar di Negara ini.    

 

3. Jumlah motorsikal yang didaftarkan juga semakin meningkat.   Peningkatan sebanyak 8.6% telah direkodkan pada tahun 2012 dari jumlah yang didaftarkan pada tahun 2010[1]

 

4. Dari itu, saya sangat menghargai usaha pihak penganjur yang turut sama menjemput para persatuan pengguna motorsikal yang berdaftar serta syarikat-syarikat pengedar motorsikal untuk menghadiri taklimat asas ini.  Dengan kehadiran abiskita semua, maklumat dan pengetahuan mengenai asas dan keselamatan bermotorsikal akan dapat dimanfaatkan bersama. 

 

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

5. Dalam melihat peningkatan pengguna motorsikal di Negara Brunei Darussalam, isu asas dalam penggunaan motorsikal dan keselamatan adalah penting untuk ditekankan.  Usaha kearah ini perlu dipertingkatkan dan momentumnya haruslah dikekalkan. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengongsikan beberapa statistik kemalangan untuk kita fikirkan bersama:- 

 

i. Alhamdulillillah secara menyeluruh, kadar kemalangan jalan raya di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan penurunan hampir 6% dari purata 3,500 kemalangan pada tahun 2010/11 kepada 3,300 kemalangan pada tahun 2012/13[2];

 

ii. Walaubagaimanapun, dalam jangkamasa 2 tahun saja, jumlah kemalangan melibatkan penunggang motorsikal meningkat sebanyak 68% dari 44 kemalangan pada tahun 2012 kepada 74 kemalangan pada tahun 2013;

 

iii. Kita turut merekodkan 25% peningkatan kemalangan dikalangan penunggang basikal dari 12 kemalangan pada tahun 2012 kepada 15 kemalangan bagi tahun 2013; dan

 

iv. Kemalangan melibatkan pejalan kaki juga meningkat sebanyak 60% iaitu 24 kemalangan pada tahun 2013 berbanding 15 kemalangan di tahun 2012;

 

6. Dari jumlah-jumlah kemalangan yang dikongsikan ini, kadar kematian juga turut membimbangkan:-

i. Walaupun jumlah kematian dari kemalangan jalan raya secara menyeluruh telah menurun sebanyak 23% daripada purata 37 kematian bagi tahun 2010/11 kepada purata 30 kematian bagi tahun 2012/13[3]. Apa yang lebih membimbangkan adalah;

 

ii. Bagi tahun 2012 dan 2013, secara purata 15% daripada kemalangan fatal adalah dikalangan pengguna motorsikal. Ini menunjukkan kenaikan 9% dari tahun 2010 dan 2011 yang mempunyai purata 6%; dan

 

iii. 10% dari kematian dari kemalangan jalanraya bagi 2012/13 adalah dari penunggang basikal dan pejalan kaki.

 

7. Dari statistik yang dikongsikan,   mari kita tumpukan perhatian kepada peningkatan kadar fatality atau kematian dikalangan pengguna motorsikal, basikal dan pejalan kaki.  Tidak dinafikan, pendedahan kepada bahaya dikalangan pengguna motorsikal, basikal dan pejalan kaki adalah berbeza dengan pemandu kenderaan motokar. Selain daripada mengamalkan langkah-langkah keselamatan,  pendedahan atau 'vulnerability' ini  turut bergantung kepada 'visibility' pengguna motorsikal, basikal dan pejalan kaki semasa menggunakan jalan raya.

 

8. Sehubungan ini, saya ingin menyarankan bagi para pengguna motorsikal, basikal dan pejalan kaki untuk mengambil langkah keselamatan untuk meningkatkan 'visibility' masing-masing semasa di jalan raya. 

 

9. Ini termasuklah memastikan lampu motorsikal dan basikal berfungsi dengan baik serta menggunakan pakaian yang meningkatkan 'visibility' kita.  Selain itu, langkah berwaspada haruslah juga diambil semasa berada di kawasan jalan raya yang sibuk seperti di sepanjang lebuh raya dan semasa menggunakan kemudahan seperti tempat pejalan kaki antara lainnya.

 

10. Pada masa yang sama, saya juga ingin menyeru bagi para pemandu kenderaan motokar untuk turut peka akan kehadiran pengguna jalan raya yang lain seperti penunggang motorsikal, basikal dan pejalan kaki. Kita juga harus peka dengan keadaan sekeliling, seperti menjadi lebih berwaspada dikawasan-kawasan gelap dan kerap menjadi laluan kepada pengguna seperti yang saya sebutkan tadi.  Kita semua adalah bertanggungjawab dalam memastikan jalan raya adalah selamat untuk digunakan oleh semua pengguna.

 

11. Dalam mempertimbangkan perkara-perkara ini, Kementerian Perhubungan dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya sangat menekankan keselamatan pengguna jalan raya.

 

12. Pelbagai inisiatif dan usaha dirancang dan dilaksanakan dengan pihak-pihak berkenaan di sektor Kerajaan dan swasta bagi menjana kesedaran dan kewaspadaan dikalangan para pengguna jalanraya. 

 

13. Apa yang dihasratkan adalah bagi pengurangan dalam kadar kematian jalan raya supaya selaras dengan  'international benchmark' iaitu dibawah 4 kematian dalam 100,000 penduduk setahun seperti di negara-negara seperti Singapura, Jepun, Korea, Australia, United Kingdom, Germany antara lainnya. Negara kita masih lagi mempunyai purata yang membimbangkan, iaitu dalam lingkungan 10 ke 12 kematian dalam 100,000 penduduk setahun semenjak 10 tahun kebelakangan ini. 

 

14. Ke arah ini, Kementerian Perhubungan sedang meneliti dasar dan peraturan kearah membentuk persekitaran yang selamat bagi pengguna-pengguna jalan raya.  Ini termasuklah penyediaan peraturan bagi tempat-tempat berbasikal dan ruang pejalan kaki yang khusus.  Selain itu aktiviti-aktiviti promosi akan terus diadakan bagi memastikan kita sentiasa saling ingat-mengingati mengenai amalan-amalan kearah keselamatan jalan raya.

 

15. Melalui program Taklimat Asas dan Keselamatan Bermotorsikal ini, saya percaya ianya akan dapat meningkatkan kewaspadaan dikalangan pengguna motorsikal khususnya kepada pengguna-pengguna baru. Dengan memahami langkah asas dan keselamatan ini, kita akan dapat menjana kewaspadaan serta kepekaan yang dipertingkatkan dikalangan semua pengguna jalan raya.  Dari kerjasama dan kefahaman yang menyeluruh ini, usaha kearah menjadikan jalan raya di Negara Brunei Darussalam lebih selamat akan dapat mencapai yang hasratkan, Insya Allah.

 

16. Untuk mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas kepada Sekolah memandu REDZA dan Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA) atas usahasama biskita menganjurkan taklimat ini.  Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para hadirin sekalian. Saya berharap, pengetahuan yang dapat diperolehi dari taklimat ini akan dapat menjadi peringatan dan amalan kita bersama.   

 

Sekian Terima Kasih, Wabillahhitaufiq Walhidayat Wassalamualikum Warahamatullahi Wabarakatuh



[1] 2010 – 602 buah, 2011 – 617 buah, 2012 – 654 buah, sumber: JPD

[2] 2012 – 3310 , 2013 – 3340, sumber RBPF

[3] 2012 – 28, 2013 – 32, sumber : RSU, MOC​

Attachments
Created at 05/12/2015 11:12 AM by Siti Hawa binti Aboo Samah
Last modified at 05/12/2015 11:12 AM by Siti Hawa binti Aboo Samah