
BANDAR SERI BEGAWAN, Hari Khamis, 23 SEPTEMBER 2021 - Jabatan Perkhidmatan Pos,
Negara Brunei Darussalam mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem
Kenang-kenangan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien. Setem Kenang-kenangan ini siap
sedia untuk dijual kepada orang ramai yang berminat untuk mendapatkannya bermula pada
hari Khamis, 16hb Safar 1443 bersamaan dengan 23hb September 2021.
Keluaran setem pada kali ini memaparkan pembinaan jambatan yang terpanjang di rantau
Asia Tenggara yang mempunyai kepanjangan 26.3 km dan mula dibukakan kepada orang
ramai pada 17hb Mac 2020.
Pembukaan jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien ini adalah
bagi memudahkan pergerakan orang ramai yang membuat penghantaran barangan dan
perkhidmatan di antara Daerah Brunei-Muara dan Daerah Temburong. Jambatan ini juga
merupakan ‘lambang kemodenan’ terunggul bagi Negara Brunei Darussalam.
Selaras dengan memperingati ‘lambang kemodenan’ ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum
Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam, melalui Titah Baginda bersempena dengan Hari Keputeraan Baginda yang
ke-74 tahun, secara rasminya telah menamakan jambatan ini sebagai ‘Jambatan Sultan Haji
Omar ‘Ali Saifuddien’.
Melalui keluaran ini, Jabatan Perkhidmatan Pos akan mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari
Pertama, tiga (3) keping setem dan Lembaran Mini Khas. Produk-produk setem yang akan
dijual adalah seperti berikut:-
1. Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Bersetem (FDC)
- (dicetak sebanyak 3,000 keping sahaja): $3.45 sekeping (Tiga Ringgit dan Empat
Puluh Lima Sen Sahaja).
2. Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Tanpa Setem (FDC)
- (dicetak sebanyak 3,000 keping sahaja): $0.45 sekeping (Empat Puluh Lima Sen
Sahaja).
3. Lembaran Mini Khas (Miniature Sheet): $30.00 sekeping (Tiga Puluh Ringgit Sahaja).
4. Setem Setenant berharga: $3.00 - $1.00 x 3 keping (Tiga Ringgit Sahaja).
5. Lembaran Setem berharga: $24.00 - 8 set (Dua Puluh Empat Ringgit Sahaja).
Butiran teknikal rekabentuk setem adalah seperti berikut:-
• Perekabentuk: Ikmalina Hakimah binti Haji Md. Yunos
• Pencetak: Southern Colour Print Limited, New Zealand
• Ukuran Setem: 40mm x 30mm
• Proses pencetakan: Offset lithography 300 LPI
• Jenis kertas: Arconvert Gummed Stamp Paper 110gsm
• Nombor Lembaran Setem Bersiri: 00001 – 25000
• Nombor Lembaran Mini Khas Bersiri: 001 – 350 (Keluaran adalah Terhad)
• Perlubangan setem: 14.28 x 14.40
• Teks disediakan oleh Urusetia Projek Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien,
Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan
Setem Kenang-kenangan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien mula dijual kepada orang
ramai pada Khamis, 23hb September 2021 bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Dengan
mengambilkira situasi terkini jangkitan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam,
Jabatan ini mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan penjarakan sosial dan juga
memberikan perkhidmatan tanpa sentuhan.
Bagi mendapatkan Setem Kenang-Kenangan ini, orang ramai hendaklah membuat tempahan
dengan menghubungi cawangan-cawangan pejabat pos yang berkenaan atau melalui
tempahan secara dalam talian dengan mengimbas kod QR yang disediakan.
Setem-setem
yang telah ditempah akan dapat diambil di cawangan-cawangan pejabat pos seperti berikut:-
1. Pejabat Pos Gadong;
2. Pejabat Pos Seri Kompleks;
3. Pejabat Pos Muara;
4. Pejabat Pos Sengkurong;
5. Pejabat Pos Lumut;
6. Pejabat Pos Mumong, Kuala Belait;
7. Pejabat Pos Seria;
8. Pejabat Pos Tutong; dan
9. Pejabat Pos Bangar.
Untuk keterangan lanjut, penggemar-penggemar koleksi setem dan orang ramai bolehlah
terus menghubungi Unit Pemasaran, Filateli dan Perhubungan Awam di talian 729 1679 atau
222 2191 dan emel ke brustamp@post.gov.bn, atau melayari laman web Jabatan
Perkhidmatan Pos di www.post.gov.bn dan laman Instagram Jabatan Perkhidmatan Pos @post_brunei.








