
BANDAR SERI BEGAWAN, Hari Khamis, 19 Ramadhan 1446 bersamaan 20 Mac 2025 - Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Negara Brunei Darussalam telah mengeluarkan Poskad Hari Raya, sebuah produk filatelik khas bersempena Sambutan Hari Raya tahun ini.
Poskad Hari Raya ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Perkhidmatan Pos dalam mengekalkan tradisi penulisan dan penghantaran ucapan Hari Raya secara fizikal. Pengeluarannya bertujuan untuk menghidupkan kembali nostalgia berkirim kad ucapan sebagai tanda ingatan kepada keluarga, sahabat handai, serta kenalan, sama ada yang jauh mahupun dekat.
Sebagai keluaran edisi khas, poskad ini dijangka menarik perhatian para pengumpul serta memupuk minat generasi muda terhadap seni dan sejarah poskad. Tahun ini juga menandakan kali pertama Jabatan Perkhidmatan Pos memperkenalkan kad Hari Raya dalam bentuk poskad, yang pastinya memberikan nilai sentimental kepada para peminat dan pengumpul poskad.
Selain itu, usaha ini juga merupakan inisiatif Jabatan Perkhidmatan Pos untuk mengembalikan keunikan budaya berkirim kad Hari Raya. Dengan pengeluaran poskad ini, generasi muda dapat mengenali dan memahami bagaimana komunikasi dilakukan sebelum era digital, di samping menyedari bahawa perkhidmatan pos masih relevan dan terus memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.
Poskad Hari Raya ini dikeluarkan dalam edisi khas yang sangat terhad, dengan jumlah cetakan sebanyak 2,000 keping sahaja. Oleh itu, orang ramai, terutamanya peminat dan pengumpul poskad, digalakkan untuk mendapatkan poskad ini sebelum kehabisan.
Harga Jualan:
- 1 (satu) Set Pek mengandungi 4 (empat) keping poskad (rekabentuk berbeza) – BND $6.00 (tidak termasuk setem).
Bagi mereka yang ingin menghantar Poskad Hari Raya ini, penghantaran boleh dilakukan melalui pembelian setem atau menggunakan Perkhidmatan Poslaju (EMS), yang menawarkan penghantaran lebih pentas, selamat dan boleh dijejak keberadaanya.
Orang ramai bolehlah memperolehi Poskad Hari Raya berkenaan dengan mengunjungi cawangan-cawangan pejabat pos yang tersenerai mulai hari Khamis, 20 Mac 2025, dari jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Untuk sebarang pertanyaan dan makluman lanjut, sila hubungi CSCPOST di talian +673 2380481, atau melalui aplikasi WhatsApp (pesanan mesej sahaja) di +673 8711002, atau kunjungi media sosial Instagram @Post_Brunei serta laman web rasmi www.post.gov.bn.
