Isnin, 11 Zulhijjah 1446 bersamaan 9 Jun 2025 - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Ibadah Korban sempena dengan Sambutan Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1446H/2025M pada pagi ini. Majlis berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos, Negara Brunei Darussalam selaku penganjur pada tahun ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi serta isteri, Yang Mulia Datin Hajah Mahayon binti Mohd Taha.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Takbir beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor Penjara. Majlis seterusnya diserikan dengan ceramah khas bertajuk “Hayati Korban Dalam Kehidupan" yang menyentuh pengertian serta hikmah ibadah korban dalam kehidupan seharian.
Pada tahun ini, sebanyak enam (6) ekor kerbau telah dikorbankan dan dagingdaging korban telah diagihkan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi kepada penerima yang terdiri daripada golongan asnaf fakir miskin (105 orang) di bawah tadahan Kawasan Mukim Berakas A, Daerah Brunei Muara, anak-anak yatim (30 orang), Bahagian Divisen 5 (30 orang) dan selebihnya kepada jemputan dan peserta korban di bawah warga Kementerian Pengangkutandan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Turut sama hadir di majlis berkenaan ialah Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Yang Mulia Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian, pegawaipegawai kanan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan serta agensiagensi pihak berkuasa di bawahnya.
Disediakan oleh:
Jabatan Perkhidmatan Pos
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
11 Zulhijjah 1446H / 9 Jun 2025