Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Speeches

UCAPAN ALU-ALUAN SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM PENGHARGAAN ASIA-PACIFIC ICT MINISTERIAL MEETING & BRUNEI ICT AWARDS 2014

Bismillahir Rahman Nirrahim

 

Alhamdullilahi Rabbil `Alameen Wasaalatu Wassalaamu `Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen, Saidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama'een.

 

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar,

Menteri Perhubungan dan Yang Mulia Datin Hajah Hasiah binti              Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim,

 

Yang Mulia Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Yunos

Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan dan isteri,

 

Yang Mulia Awang Haji Yahkup Hj Menudin,

Ketua Eksekutif, AITI

 

Pengarah-Pengarah dan Pegawai-pegawai Kanan, Ahli-Ahli AITI, Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

 

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.

 

  1.  Alhamdullilah, syukur kehadrat Allah SWT atas keizinanNya jua, kita dapat berkumpul pada malam ini, bagi Majlis Makan Malam Penghargaan Asia Pacific ICT Ministerial Meeting  & Brunei ICT Awards (BICTA) 2014. Terlebih dahulu, bagi pihak semua Ahli-Ahli Jawatankuasa Pandu serta Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja, kaola ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin atas kesudian Yang Berhormat Pehin hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa semasa majlis malam ini.

     
  2.  Majlis pada malam ini adalah khusus bagi menghargai dedikasi dan kerjasama yang telah diberikan oleh biskita semua yang mewakili Kementerian-Kementerian, Jabatan, agensi-agensi Kerajaan, agensi media dan para individu yang terlibat semasa Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kepada Asia-Pacific ICT Ministerial Meeting pada 10 - 11 September 2014.  Ini termasuklah juga penglibatan dalam menganjurkan mesyuarat persediaannya, APT Development Forum yang telah diadakan pada 8 - 9 September 2014.  Pada masa yang sama, Malam Gala Brunei ICT Awards 2014 juga turut diadakan pada 10 September 2014. 

     
  3. Tanpa peranan dan kerjasama biskita semua, mesyuarat dan acara yang diadakan tidak akan dapat berlangsung dengan jayanya.  Dari itu, majlis ini adalah khusus untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada biskita semua.

     
  4.  Alhamdullillah buat kesekian kalinya, kita telah dapat menganjurkan satu-satunya acara besar yang penting dan strategik.  Mesyuarat Asia Pacific ICT Ministerial, contohnya, diadakan setiap lima (5) tahun dan adalah signifikan dalam memberikan hala tuju dan perancangan strategik kearah perkembangan ICT di rantau Asia Pasifik.

     
  5.   Mesyuarat tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan negara-negara ahli APT di rantau Asia-Pasifik.  Lebih 200 orang delegasi, yang diketuai oleh 18 orang Ketua Delegasi dari peringkat Menteri (termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri), Timbalan Menteri, Setiausaha Tetap dan pegawai-pegawai kanan rantau Asia Pasifik menghadiri mesyuarat berkenaan.  Turut hadir adalah Setiausaha Agung Asia Pacific Telecommunity (APT) dan Timbalan Setiausaha Agung International Telecommunications Union (ITU). 

     
  6.   Alhamdulillah, dengan kerjasama dan dedikasi semua pihak yang terlibat, melalui Jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan, telah dapat menjalankan peranan masing-masing dengan baik dan lancar.  Selain itu, apa yang membanggakan adalah pemedulian, keperihatinan dan kesopanan kita sebagai orang Brunei turut menjadi kenangan dan ristaan para delegasi.  Malah, Yang Berhormat Pehin dan saya sendiri telah menerima surat dan nota penghargaan dari para delegasi atas layanan baik yang diterima sepanjang mereka berada di Negara Brunei Darussalam. 

     

    Hadirin dan hadirat sekalian,

     
  7.   Selain menjadi tuan rumah kepada Asia-Pacific ICT Ministerial Meeting,  Kementerian Perhubungan dengan kerjasama AITI dan IFB telah mengadakan Malam Gala Brunei ICT Awards 2014 pada 10hb September 2014.   Berangkat selaku Tetamu Kehormat adalah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, yang juga adalah Penaung Diraja BICTA. Turut berangkat sama adalah ahli kerabat Di Raja. 

     
  8. Alhamdulillah, Malam Gala BICTA 2014 juga turut berjalan dengan lancar dan kita telah dapat menunjukkan kebolehan serta bakat penggiat ICT tempatan kepada tetamu dari luar negara. 

     
  9. Ingin saya sampaikan disini bahawa mesyuarat dan acara yang diadakan tidak akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna tanpa komitmen dan kerjasama dari pihak-pihak yang terlibat.  Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak-pihak dan individu yang terlibat, khususnya daripada:-

     
  1. Kementerian Perhubungan serta Jabatan-jabatan dibawahnya;
  2. AITI;

Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu yang mewakili beberapa Kementerian dan agensi Kerajaan seperti berikut:-
 

  1. Jabatan Adat Istiadat Negara;
  2. Kementerian Kewangan;
  3. Kementerian Kesihatan;
  4. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri;
  5. Kementerian Pendidikan;
  6. Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan;
  7. Angkatan Bersenjata Diraja Brunei;
  8. Polis Diraja Brunei;
  9. Radio Televisyen Brunei;
  10. Jabatan Penerangan;
  11. Jabatan Kastam dan Eksais Diraja;
  12. Jabatan Bomba dan Penyelamat; dan
  13. Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.


10. Saya juga ingin menyampaikan setinggi penghargaan kepada agensi-agensi media, sektor swasta yang turut memberi sokongan bagi menjayakan mesuarat dan acara yang diadakan.  Peranan para individu sebagai Liaison Officers dan Support Staff juga sangat dihargai dalam sama-sama melancarkan pengendalian mesyuarat dan acara berkenaan.  Dalam kesempatan ini juga, penyampaian surat-surat penghargaan  akan diadakan semasa majlis ini. 

 

Yang Berhormat Pehin, hadirin dan hadirat sekalian,

 

11. Seterusnya, bagi mewakili ahli-ahli Jawatankuasa Pandu serta Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja, kaola ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin atas nasihat Yang Berhormat Pehin bagi menyempurnakan lagi pengendalian mesyuarat serta acara yang telah diadakan. Kaola sekali lagi juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pehin dan Datin diatas kehadiran Yang Berhormat Pehin dan Datin bagi sama-sama memeriahkan lagi majlis malam ini.

 

12.  Untuk mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Perhubungan dan AITI atas kerjasama dan usaha bagi mengadakan Majlis Makan Malam Penghargaan ini. 

 

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.​

Attachments
Created at 05/12/2015 11:16 AM by Siti Hawa binti Aboo Samah
Last modified at 05/12/2015 11:16 AM by Siti Hawa binti Aboo Samah